BAHASA JIWA BANGSA

BAHASA JIWA BANGSA
Powered By Blogger

Tuesday, 30 April 2013

GURU DAN CABARANNYA




Pepatah Melayu menganalogikan guru sebagai lilin membakar diri bagi menerangi orang lain masih relevan dalam era globalisasi. Apa tidaknya, ramai kalangan guru kekal pada takuk lama kerana rutin kerja yang diamanahkan pihak ‘stake-holder’, demi melahirkan generasi ataupun modal insan kelas pertama dari segi budaya, agama, sahsiah dan pemikiran.Namun, golongan guru boleh menguntum senyuman kerana jasa mereka terpapar pada kejayaan dikecapi, bukan saja murid diajar bahkan pada setiap pelosok pembangunan. Inilah lilin yang membakar diri demi kebahagiaan anak muridnya.

Profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru. Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan. Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal.

Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis. Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.

Betul kata pujangga Usman Awang yang menulis baik keramat bahawa setiap kejayaan dicapai manusia, titik pangkalnya bermula daripada guru.Meskipun guru tidak boleh bermegah dengan kejayaan anak didik mereka, guru harus bangkit daripada kesibukan bagi memberi didikan kepada anak bangsa untuk mencapai kejayaan cemerlang. Inilah satu lagi peranan guru - sebagai seorang pembangun negara. Ini kerana di bawah jagaannya adalah sekumpulan manusia muda yang akan diasuh dan dididik supaya menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berguna. Justeru, fokus guru adalah lebih daripada pembelajaran.

Ia melibatkan pendidikan meliputi segala aspek meliputi pembangunan mental, fizikal, emosi, sosial dan psikologi. Guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar. Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Kita perlu sedar, kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan. Ini kerana persediaan bagi pengeluaran tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru. Guru juga adalah model manusia berkelakuan baik. Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial, kedaerahan dan politik.

Seorang ahli psikologi Barat pernah menganalogikan seorang guru yang pintar ibarat ‘walking dictionary’ kerana peranannya memberi arah kepada orang yang ingin bertanya sesuatu.Pun begitu, seorang guru yang proaktif dan berfikiran terbuka lebih mesra dengan sikap keterbukaan dan kesediaannya untuk meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.Seorang pelajar di Amerika Syarikat pernah dipetik sebagai berkata bahawa guru yang baik ialah guru yang mengajar muridnya seperti mana dia mahukan anak murid mengajarnya.

Malah guru yang berpendirian profesional dalam tingkah lakunya dengan memegang kepada nilai-nilai akhlak dan etika yang positif berkemungkinan mampu mempengaruhi pelajarnya daripada ibu bapa mereka sendiri. Bagi memantapkan profesionalismenya, adalah penting guru menjalani latihan sebelum perkhidmatan. Pendedahan awal ini mendedahkan guru dengan pelbagai kaedah dan kemahiran pengajaran yang perlu seorang guru miliki. Bagaimanapun, latihan tidak terhad kepada sebelum perkhidmatan semata-mata. Dalam semua aspek keguruan, ilmu pengetahuan adalah lebih luas dan mendalam hasil usaha penyelidikan dan diskusi guru-guru pengetahuan.

Selain itu, kelayakan akademik juga adalah satu lagi perkara yang perlu ditimbangkan. Ini kerana profesionalisme guru itu adalah berpusatkan kepada pengetahuan. Maka, adalah wajar diramalkan, seiringan dengan kejayaan Malaysia meningkatkan kadar pembangunannya, guru-guru ijazah akan bertugas sehingga ke sekolah rendah. Memandangkan guru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, sifat kerja guru yang begitu khusus memerlukan guru mempunyai kelayakan akademik minimum dan menghadiri program-program latihan sebelum dan semasa perkhidmatan.

Justeru langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan guru meningkatkan kelayakan akademik melalui pelbagai program dan galakan termasuklah kursus dalam perkhidmatan, galakan guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah, pensiswazahan Guru Besar, anugerah biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran merupakan manifestasi untuk membangunkan kerjaya guru. Bagaimanapun dorongan ini perlu selari dengan insentif untuk terus menyuburkan minat dan kompetensi guru dengan menyediakan Hadiah Pergerakan Gaji umpamanya bagi guru yang mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi seperti sarjana, Phd dan sebagainya.

Di samping itu, cabaran kini, guru juga perlu mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat tingkah laku yang positif. Di samping memperakui akan kepentingan guru, penganugerahan status ini akan dapat menarik calon-calon yang lebih terpelajar dan lebih berkelayakan memohon menjadi guru dan seterusnya akan membantu negara memperoleh kejayaan yang lebih besar yang tidak dapat dinilai. Benarlah Islam meletakkan profesion guru itu tinggi darjatnya.

Hakikat ini ditunjukkan sendiri Imam Shafie ketika beliau pada saat-saat hampir menghembuskan nafas terakhir, meminta anak muridnya mengajar sesuatu kepadanya. Beliau tahu betapa tingginya martabat orang yang mengajar, begitu juga orang yang belajar di sisi Tuhan. Dalam menghadapi krisis pendidikan dalam era globalisasi ini, guru boleh berfikir sejenak terhadap tugas dan tanggung jawab yang harus dipikul bagi mengharungi cabaran masa hadapan.

Cabaran guru masa depan lebih hebat. Guru harus berfikiran global dengan mengandungkan aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai karenah yang harus dibendung secara lebih bijak dan berhati-hati. Guru masa kini harus melihat kurikulum pendidikan secara dinamik. Guru harus bijak mentafsir kurikulum yang menjadi wahana penyampaian ilmunya. Bagi rakyat, kurikulum yang menjadi intipati kemajuan dan perpaduan ialah integrasi antara kaum.

Bentuk kurikulum yang usang dan difikirkan kurang menyumbang kepada kemajuan negara bangsa harus diberi nafas baru atau digubal semula agar penampilannya lebih segar sebagai agen kemajuan dan pembangunan 2020.

Perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan konsep keperibadian yang mulia dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan sosial. Profesionalisme perguruan didefinisikan kepakaran tinggi dalam kedudukan seseorang. Profesionalisme meliputi beberapa nilai kerja seperti mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. Mutu pendidikan dilihat menerusi keberkesanan dalam penggunaan sumber yang secukupnya. Ia amat mempengaruhi minat, kefahaman, penyertaan murid semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Ia juga mempengaruhi pencapaian murid dalam bidang akedemik tertentu.

Ini dapat dilihat melalui pengurusannya yang bercorakkan budaya korporat dan pengurusan bisnes di mana ia mementingkan kawalan mutu secara menyeluruh dan pengurusannya pula adalah menuju ke arah mewujudkan satu system pendidikan yang mantap dan canggih. Faktor utama yang menentukan perubahan dalam sistem pendidikan hari ini ialah impak globalisasi dan usaha sama dalam bidang sains dan teknologi. Ini jelas termaktub dalam dokumen-dokumen rasmi Rancangan Malaysia yang ketujuh. Pelbagai aspek harus diberi perhatian sewajarnya bagi pengekalan kualiti sistem pendidikan pada peringkat makro mahupun pada peringkat mikro.

Kajian dan analisis harus dijalankan bagi mengesan kelas dan tahap ketidakimbangan dalam system pendidikan agar langkah diimbangi semula dan altenatif dapat dirumuskan serta dilaksanakan sebaik mungkin. Secara terperincinya, istilah kualiti atau mutu pendidikan tidak asing lagi bagi kita.

Ia merangkumi standard atau taraf pembelajaran, keberkesanan pengajaran di dalam kelas oleh guru, kelicinan pengurusan, kepuasan kerja di kalangan guru-guru dan murid-murid, kesesuaian dan kebergunaan ilmu dan kemahiran-kemahiran yang diperolehi daripada sekolah dan institusi pengajian tinggi, perasaan yakin pada diri sendiri, perasaan yakin diri untuk bertanding, perasaan banggakan Negara, bangsa dan budaya, megahkan pencapaian negara termasuk pengiktirafan yang diperolehi oleh pemimpin-pemimpin negara dan sebagainya. Pendek kata aspek kuantiti perlulah selari dengan pembangunan dari segi kualiti pendidikan.

Cabaran-cabaran utama dalam profesionalisme perguruan ialah keperluan model atau mod – mod baru dalam sistem mengajar dan belajar. Sebuah negara maju adalah negara yang mempunyai sistem pendidikan yang boleh mengadaptasi dan berubah perjalanan sistem pengajaran dan pembelajarannya.

Inovasi, reka cipta atau kreativiti bukan lagi merupakan istilah janggal dalam proses mengajar dan belajar. Jangkaan hidup pada zaman moden, kepesatan perkembangan teknologi dan perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang memerlukan formulasi falsafah, matlamat, objektif dan prosedur yang baru supaya kesemua ini dapat memperkukuhkan lagi apa yang sudah terasas.

Merevolusikan seluruh sistem pendidikan bukan sebahagian kecil sahaja selepas sesuatu tempoh jangka masa panjang amat perlu bagi membasmi seleruh penyakit dan kelemahan yang wujud dan mencengkam sistem pendidikan itu. Pembaharuan perlu melibatkan komponen struktur, infrastuktur, agihan tenaga kerja, prosedur, proses dan penekanan agar dapat melahirkan satu sistem baru yang mampu bertahan dalam sesuatu tempoh jangka masa yang akan datang.

Keengganan membaharui atau kadangkala melihat keperluan bagi membuat pembaharuan merupakan satu sikap ortodoks yang merugikan. Pembaharuan penting supaya sistem menjadi relevan dan tidak lapuk serta ketinggalan zaman. Inovasi juga adalah sinonim dengan globalisasi. Jika dianalisisi secara rapi, semua aspek dalam sistem pendidikan perlu diubah atau diinovasikan.

Aspek-aspek ini termasuklah sistem disiplin murid, kepimpinan guru besar, bahan alat mengajar, corak pengukuran dan penilaian serta cara pemikiran dan pemerhatian guru, murid dan pihak pengurusan. Perubahan paradigma dan ‘mind set’ guru dan pihak pentadbir amatlah diperlukan kerana ia merupakan penggerak utama sesuatu idea baru dan inovasi tersebut. Guru-guru dan pihak pentadbir / pengurus perlu bersikap lebih terbuka, bersedia mendengar dan berganding bahu untuk cuba keluar daripada amalan atau garis bertindak paradigma yang lama. Ini juga merupakan cabaran yang akan dihadapi oleh saya.

Awal tahun 1997, Kementerian Pendidikan Malaysia (sekarang dikenali sebagai Kementerian Pelajaran Malaysia) telah mempopularkan konsep sekolah bestari atau ‘smart school’ iaitu satu konsep persekolahan yang inovatif. Namun begitu, konsep ini kekal tercatat di dalam dokumen-dokumen rasmi jika ia tidak dioperasikan. Tanpa pelaksanaan dan perubahan amalan, ia tidak dapat member sebarang kesan positif serta tidak menimbulkan apa apa perubahan kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Cabaran-cabaran yang utama dalam profesionalisme perguruan yang seterusnya ialah imej dan usaha gigih guru. Guru-guru merupakn tonggak kejayaan murid-murid dan para pensyarah di institusi-institusi pengajian tinggi serta berpengaruh dalam melahirkan golongan intelektual dan professional yang diperlukan oleh negara. Namun, status dan penghormatan masyarakat terhadap golongan pendidik tidak mencerminkan kepentingan peranan yang mereka mainkan.

Ini dapat dilihat apabila guru dianggap berada di hierarki pekerjaan yang paling rendah, sedangkan pensyarah di institusi-institusi pengajian tinggi pula terutama bagi bidang-bidang kritikal seperti bidang perubatan dan kejuruteraan, rata-rata merasaskan khidmat mereka tidak dinilai setimpal dengan penghargaan dan penilaian yang diberikan oleh pihak swasta.

Faktor masa persekolahan harian merupakan faktor utama yang mendesak penglibatan murid-murid dan guru. Penampalan superficial ke atas sebahagian kecil daripada sistem, misalnya kepada komponen lembut seperti kurikulum sahaja, tidak akan memberikan ganjaran yang diharapkan. Ini kerana sebahagian besar daripada sistem itu masih pada bentuk dan identiti yang lain. Amalan persekolahan dua sesi, sesi pagi dan sesi petang yang telah berjalan sejak lebih daripada 25 tahun yang lalu, sememangnya memendekkan masa persekolahan harian.

Akibatnya murid-murid dan guru terlalu sedar akan kesuntukan masa belajar atau berinteraksi dalam bilik darjah dan sekolah. Keberatan masalah ini ditambah oleh skop bidang pelajaran yang luas. Fenomena kekangan masa dan sindrom exam-oriented menekan murid-murid dalam proses pembelajaran kerana mereka belajar untuk mendapatkan kredit yang baik dalam peperiksaan. Akibatnya murid-murid tidak mempunyai semangat belajar untuk menimba ilmu dan menjadi orang yang terdidik.

Seterusnya murid-murid kurang motivasi, minat, dedikasi dan inovasi semasa mereka belajar di sekolah. Pelajaran dipelajari secara hafal dan sikap positif dalam mencari ilmu seperti sikap suka membaca kian pupus mengikut masa di mana semakin lama mereka bersekolah semakin lemah keyakinan mereka terhadap matlamat pembelajaran dan persekolahan. Selain daripada ganjaran material, kepuasan dan motivasi kerja di kalangan guru juga tidak berada di tahap optimum atau maksimum. Ramai guru yang berasa kecewa dengan berleluasanya gejala sosial di kalangan remaja sejak di bangku sekolah lagi. Perkara yang lagi mengecewakan ialah ataupun menyedihkan ialah sebahagian daripada mereka masih berada di bangku sekolah lagi.

Warga guru lebih tertekan apabila masyarakat menudung jari dan mempersalahkan para guru yang silap memberikan didikan formal kepada anak-anak muda zaman sekarang. Sungguhpun begitu, para guru harus berfikir sejauh mana mereka akan terus kekal berkhidmat cemerlang dan penuh iltizam serta dedikasi di bidang perguruan sekiranya status dan imej mereka dipertingkatkan. Guru sebagai pembimbing harus membimbing anak muridnya dengan penuh kasih sayang tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Guru harus menganggap anak muridnya sebagai anak sendiri. Layanan yang diberikan pada setiap murid haruslah sama dan saksama.

Kurikulum adalah berpusatkan mata pelajaran. Di peringkat sekolah rendah, fokusnya dalah terhadap kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Peranan guru adalah sangat penting. Guru adalah sebagai pakar yang menguasai bidangnya sebagai role model. Oleh itu, guru perlu dihormati kerana kepakaran dan kewibawaannya. Sekolah adalah sebagai tempat dimana pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap bagi menyediakan mereka menjadi ahli masyarakat yang berguna. Peranan guru adalah sebagai fasilitator atau pembimbing yang akan membantu pelajar dalam aktiviti atau mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

Sebagai guru, saya sedar tujuan pendidikan adalah untuk menyedarkan pelajar tentang masalah-masalah sosial, ekonomi dan politik yang berlaku dalam masyarakat. Saya sedar peranan guru adalah sebagai pembimbing iaitu membimbing pelajar agar sedar dan dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Seterusnya, pelajar dibimbing serta dilatih untuk menyelesaikan masalah agar mereka memperoleh kemahiran dalam mengatasi masalah yang dihadapi pada masa kelak. Peranan sekolah adalah sebagai agensi utama dalam pembinaan semula masyarakat yang menggerakkan perubahan sosial, ekonomi mahupun politik sesuai dengan masyarakat akan datang.

Saya sedar tanggungjawab yang dipikul oleh saya amatlah besar. Saya harus bersedia mengharungi segala cabaran yang dinyatakan di atas tadi bagi melahirkan anak murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Gurulah yang menjadi penyumbang kepada pembangunan negara kerana mereka bertungkus lumus mendidik anak muridnya supaya mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kerjayanya.

Saya sebagai warga pendidik harus mengamalkan nilai-nilai seperti bersikap neutral, mampu mengendalikan diri mahupun situasi, berfikiran kreatif dan berperancangan, mampu mengendalikan perubahan, optimistik dan mampu mengkomunikasikan sifat positif secara efektif. Semoga warga guru bersedia mengharungi dunia pendidikan yang penuh dengan pelbagai cabaran. Lagipun kini, sistem pendidikan mengalami banyak perubahan secara mendadak. Perubahan yang kian mengambil alih bersamaan dengan era globalisasi harus dirintangi oleh guru. Jangan lupa akan tanggungjawab golongan guru. Gurulah peneraju pendidikan. Berbakti pada nusa, bangsa dan negara. Itulah pedoman hidup guru.

BINA AYAT {KATA KERJA}



Bina Ayat dengan Kata Kerja

1. mengelap

Ibu mengelap piano yang kotor di ruang tamu.


2. membeli 
 
Nenek membeli ikan yang kecil di pasar raya.


3. menyidai 
 
Kakak menyidai baju yang basah di luar rumah saya.


4. melihat 
 
Samy melihat lelaki yang tampan di Times Square.


5. menjahit 
 
Mei Li menjahit baju yang cantik di biliknya.


6. mengasah 

Ali mengasah pisau yang tumpul itu.


7. memakai

Zuriana memakai baju yang cantik.


8. membuang 
 
Ah Meng membuang sampah ke tong sampah.


9. membaca 
 
Saya membaca buku yang tebal.


10. membasuh 
 
Nenek membasuh baju yang kotor.


11. memberus 
 
Saya memberus gigi dengan berus gigi setiap hari.


12. berlari 
 
Amirul berlari dengan cepat apabila dikejar oleh anjing.


13. beratur 
 
Murid-murid beratur semasa membeli makanan di kantin.


14. menyapu 
 
Kakak sedang menyapu daun-daun kering.


15. menyiram 
 
Emak sedang menyiram pokok bunga pada waktu petang.

APA ITU KATA KERJA?



KATA KERJA
Kata kerja terbahagi kepada :
A. Kata Kerja Transitif ( Perbuatan Melampau )
B. Kata Kerja Tak Transitif ( Perbuatan tidak Melampau )
A. Kata Kerja Transitif
1. Kata Kerja Transitf ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain.Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ).
2. Ayat ini mesti ada peyambutnya ( objek )
3. Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.
 1. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama. Contohnya: Atan mendengar radio.
mendengar ialah kata kerja transitif
radio ialah objek (kata nama)
2. Kata kerja transitif menggunakan imbuhan men‑, men ...i, men ...kan, memper‑, memper...i, dan memper...kan.
Contoh ayat :
1. Kucing itu menangkap seekor burung.
2. perempuan itu menjual sayur.
3. Bapa sedang menulis surat.
Dalam ayat pertama Kucing ialah pembuat, menangkap ialah perbuatan melampau dan seekor burung ialah benda yang kena buat atau penyambut.
Dalam ayat kedua Perempuan ialah pembuat, menjual ialah perbuatan melampau dan sayur ialah benda yang kena buat atau penyambut.
Dalam ayat ketiga Bapa ialah pembuat, menulis ialah perbuatan melampau dan surat ialah benda yang kena buat atau penyambut.
(a) Pak Abu menjala ikan.
(b) Orang ramai diminta menjauhi kawasan itu.
(c) "Kita tidak harus membiarkan perkara ini berterusan," kata ketua kampung.
(d) Jangan suka memperdaya orang yang bodoh.
(e) Untuk memperbaiki mutu lakon­an anda perlu selalu berlatih.
(f) Pihak polls mempertemukan ibu itu dengan anaknya.
 
Subjek ( pembuat )
Kata kerja transitif
penyambut ( Objek )
Dia suka
membaca
buku
Jamilah
memukul
seekor ular
Abidin
menjual
kuih-muih
Ramli
berjalan
ke sekolah
Kereta itu
melanggar
seekor lembu


B. Kata Kerja Tak Transitif
1. Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Oleh itu ia tidak mempunyai penyambut.
Contohnya :
1. Mereka berjalan pada hari cuti.
2. Anjing itu sedang tidur.
3. Hujan turun dengan lebatnya semalam.
 
  • Dalam ayat pertama Mereka melakukan berjalan, tidak kepada benda lain.
  • Dalam ayat kedua Anjing melakukan tidur, tidak kepada benda lain.
  • Dalam ayat ketiga Hujan melakukan turun, tidak kepada benda lain.


Subjek ( pembuat )
Kata kerja tak Transitif
keterangan
Kami
mandi
di tasek itu.
Dia
senyum
semasa berjalan
Saya
menyanyi
dengan kuat
Hassan
berjalan
ke sekolah
 
Kata Kerja Tak Transitif
1. Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang dapat berdiri sendiri dalam ayat, yakni tidak memerlukan objek lagi.
2. Kata kerja tak transitif ada yang berbentuk asal dan ada yang berimbuhan ber‑, men‑, ter‑, ber... an dan ber...kan.
3. Contohnya:
(a) Ravi belum datang lagi.
(b) Murid‑murid sedang belajar.
(c) Sungai itu mengalir deras.
 
Peringatan
Tiap-tiap kata kerja tak transitif boleh dijadikan kata kerja transitif dengan menambah ‘kan’ atau ‘ I’ di hujungnya.
Contoh ayat:
1. Mereka menjalankan jentera itu.
2. Emak sedang menidurkan adik.
3. Pekerja itu menurunkan barang-barang dari atas lori.
4. Halim mengikuti perbualan mereka.
5. Saya sudahi syarahan saya ini dengan ucapan salam.
C) Kata Kerja Pasif
1. Kata kerja pasif ialah kata kerja yang berasal daripada kata kerja transitif tetapi yang tidak berawalan men‑. 
Contohnya: angkat, atasi, berikan, percepat, pelajari, persilakan, dan sebagainya.
2. Ada tiga jenis kata kerja pasif.
(a) kata kerja pasif diri pertama
(b) kata kerja pasif diri kedua
(c) kata kerja pasif diri


KELUARGA BAHAGIA






Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga. Keluarga bahagia menjadi terminal untuk membangunkan sebuah masyarakat yang sihat sama ada dalam aspek mental, fizikal, emosi mahupun sahsiah. Namun demikian, bukan semua impian untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni boleh mencapai matlamat. Sekiranya semua impian boleh dicapai dengan begitu mudah, nescaya tiadalah keluarga yang pincang dan terbentur kecundang ditelan gelombang. Walaupun, tanggungjawab membangunkan keluarga yang harmoni terletak atas kebijaksanaan ibu bapa, namun anak-anak turut tidak terkecuali. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga yang dibina menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera. 

Strategi penting untuk menjayakan matlamat di atas, anak-anak hendaklah menjadi seorang insan yang patuh kepada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana sikap tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu, jadilah anak-anak penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu dan ayah. Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan akhirat adalah dengan redha ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah Tuhan ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani . Sesungguhnya, inilah watak yang menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan keharmonian dalam harapan menjadikan “Rumahku Syurgaku”. 

Selain itu, anak-anak yang baik adalah yang mulia budi perkerti dan bermoral tinggi. Budi pekerti dan moral sentiasa menjadi pakaian peribadi. Apabila elok pekerti nescaya terserlahlah nilai-nilai insani. Sudah sewajarnya, anak-anak mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan santun, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, hiasilah diri dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh pekerti kita. Hormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda disayangi. Seandainya, karekter seperti ini kekal diperkasakan, insya-Allah lahirlah sebuah keluarga yang harmoni, ibarat di air yang bening terpancar bayang yang jernih. 

Sikap ringan tulang dan keletah yang ada pada sesetengah anak merupakan kriteria yang amat baik untuk membentuk keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini tidak pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi khidmat kepada keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala kerenah dalam keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli keluarga. Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini dianggap anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh anak-anak sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan mawaddah dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke dunia adalah atas limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang demikian, balasi ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi sebuah keluarga yang harmoni dan prihatin. Resam hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu ibu bapa akan berlalu pergi, justeru anak-anak pula yang mengambil giliran. Memahami situasi hukum alam itu, anak-anak wajar bersedia untuk mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti menjaga rumah tangga, menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga maruah serta nama keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian dalam rumah tangga akan terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh kerana segala sikap mereka menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal batang (perdu) lihatlah pada daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Oleh itu, sebagai anak yang baik bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk mengharmonikan keluarga. 

Bertolak ansur dan saling memahami menjadi sebahagian resepi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni. Oleh hal yang demikian, dalam kalangan anak-anak wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga beroleh aman dan tenteram. Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama adik-beradik jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit peha kiri peha kanan pun sakit juga. Seandainya wujud salah faham pun, carilah jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat air dicencang tidak akan putus. Oleh itu, setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar terus subur dengan sifat kasih sayang, harmoni dan penuh mawaddah. 

Sesungguhnya, keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sikap penyayang ibu bapa dan tingkah laku yang positif dalam kalangan anak-anak menjadi wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai anak, berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Ingatlah pada pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”. 

Terima kasih kepada Tuan Haji Ishak Md Shah

Thursday, 25 April 2013

BAHAN BACAAN









Topi.
Ini topi.
Ini topi saya.
Topi saya baru.
Topi saya warna biru.
Bapa beli topi ini.





Baju.
Ini baju.
Ini baju Sara.
Baju Sara baru.
Mama beli baju ini.
Sara suka baju ini.







   

Wednesday, 24 April 2013